PENILAIAN  KURIKULUM SAINS PROGRAM IJAZAH
 SARJANA MUDA PERGURUAN DALAM ASPEK 
KONTEKS, INPUT, PROSES DAN PRODUK




FAUZIAH HJ YAHYA



Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti amalan pelaksanaan pensyarah Sains dalam menyampaikan Kurikulum Sains PISMP di Institut Pendidikan Guru di seluruh Malaysia dari dimensi konteks, input, proses dan produk di samping melihat pengaruh antara setiap dimensi tersebut.  Kajian  tinjauan ini menggunakan kaedah gabungan  atau mixed method design yang  menggabungkan pendekatan  kuantitatif dengan  kualitatif. Sampel kajian  terdiri daripada 105 pensyarah Sains yang berkhidmat di 20 buah IPG yang menawarkan pengkhususan Sains di seluruh Malaysia.  Pengumpulan data kuantitatif menggunakan soal selidik manakala bagi data kualitatif  menggunakan temu bual. Nilai cronbach alpha daripada soalselidik ialah lebih daripada 0.90. Data kuantitatif dianalisis  menggunakan SPSS dan AMOS manakala  data kualitatif dianalisis  menggunakan prosedur manual. Hasil kajian mendapati min tahap pelaksanaan Kurikulum Sains oleh pensyarah Sains IPG adalah pada tahap sangat tinggi yang melebihi 4.30. Hasil kajian juga mendapati bahawa tidak terdapat perbezaan  yang signifikan dari dimensi konteks, input, proses dan produk  dalam amalan pelaksanaan Kurikulum Sains oleh pensyarah Sains ketika menyampaikan Kurikulum Sains PISMP di Institut Pendidikan Guru di seluruh Malaysia mengikut jantina, pengalaman mengajar di sekolah, dan pengalaman mengajar di IPG. Seterusnya berdasarkan analisis persamaan struktur (SEM), dimensi konteks mempengaruhi dimensi produk. Dua elemen dalam dimensi konteks iaitu matlamat Kurikulum dan objektif Kurikulum memberi sumbangan yang signifikan kepada dimensi ini. Dimensi Input yang diwakili oleh elemen isi kandungan pelajaran, kemahiran pedagogi, penilaian dan pentaksiran serta pemilihan dan penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran memberi sumbangan yang signifikan kepada dimensi produk. Dimensi proses yang diwakili oleh elemen pelaksanaan pengajaran dan pengajaran berdasarkan isi kandungan pelajaran, pelaksanaan kemahiran pedagogi, pelaksanaan penilaian dan pentaksiran  serta pelaksanan pemilihan dan penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran turut mempengaruhi dimensi produk. Kajian menunjukkan pengaruh secara bersama dimensi konteks, input dan proses terhadap dimensi produk dalam pelaksanaan Kurikulum Sains PISMP oleh pensyarah Sains adalah lebih baik berbanding dilaksanakan secara terpisah. Kajian mendapati setiap dimensi mempunyai elemen yang signifikan yang boleh membantu pelaksanaan kurikulum Sains PISMP secara maksimum. Kajian ini juga menghasilkan satu Profil Pelaksanaan Kurikulum Sains PISMP oleh pensyarah Sains IPG.  Kajian selanjutnya boleh dilaksanakan dengan mengintegrasikan Profil yang terhasil dengan kaedah pengajaran Pensyarah Sains untuk  membantu menambahbaik pelaksanaan Kurikulum Sains PISMP di IPG.

Comments

Popular posts from this blog