Pelajar Tahun Akhir PISMP (Sains Pendidikan Rendah)....Tahniah




Perspektif Pensyarah dalam Pelaksanaan Kurikulum Sains PISMP IPG Malaysia


Fauziah Hj Yahya*
IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka

Abdul Rahim Bin Hamdan, PhD
Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia

Artikel ini bertujuan untuk mengenalpasti perspektif pensyarah dalam melaksanakan kurikulum Sains PISMP di IPG Malaysia berdasarkan pengalaman mengajar dengan menggunakan Model KIPP. Responden kajian ini terdiri daripada 105 pensyarah sains di 20 IPG seluruh Malaysia. Kajian ini menggunakan soal selidik yang mengandungi 74 item meliputi empat dimensi iaitu dimensi Konteks, Input, Proses dan Produk. Data yang terkumpul melalui soal selidik tersebut dianalisis dengan menggunakan ANOVA sehala. Dapatan kajian menunjukkan tidak terdapat perbezaan matlamat kurikulum dan objektif kurikulum daripada dimensi konteks berdasarkan pengalaman mengajar di sekolah. Bagi keseluruhan dimensi input, tidak terdapat perbezaan  penilaian dan pentaksiran,  isi kandungan pelajaran, pemilihan dan penggunaan sumber p&p dan  kemahiran pedagogi secara signifikan mengikut pengalaman mengajar di sekolah. Bagi dimensi proses, tidak terdapat perbezaan kemahiran pedagogi,  isi kandungan pelajaran dan penilaian dan pentaksiran yang signifikan mengikut pengalaman mengajar di sekolah. Bagi dimensi produk, tidak terdapat  perbezaan produk yang signifikan dalam pelaksanaan kurikulum sains PISMP bagi pensyarah sains IPG mengikut pengalaman mengajar di sekolah. Berdasarkan pengalaman mengajar di IPG, pensyarah tidak mempunyai perbezaan dimensi konteks (matlamat kurikulum,  objektif  kurikulum}, dimensi  input (penilaian dan pentaksiran,  isi kandungan pelajaran ,  pemilihan dan penggunaan sumber p&p, kemahiran pedagogi), proses (kemahiran pedagogi,  penilaian dan pentaksiran, isi kandungan pelajaran), akan tetapi terdapat perbezaan bagi produk secara signifikan dalam pelaksanaan kurikulum sains PISMP bagi pensyarah sains IPG mengikut pengalaman mengajar di IPG. Perbincangan dan cadangan bagi dapatan kajian ini dibincangkan  dalam artikel ini.

Kata Kunci: Kurikulum Sains PISMP, KIPP, Pengalaman Mengajar



PELAKSANAAN TEKNIK BERCERITA MEMBANTU GURU MENGEKALKAN TUMPUAN MURID KETIKA FASA APLIKASI IDEA

Nur Adzrini binti Mohd Nayan
PISMP Sains

 Fauziah  Hj. Yahya
IPG, Kampus Perempuan Melayu Melaka


Kajian tindakan ini bertujuan untuk menambah baik amalan pengajaran dan pembelajaran saya dalam mengekalkan tumpuan murid ketika fasa aplikasi idea dengan menggunakan teknik bercerita. Seramai lima orang murid Tahun Tiga di sebuah sekolah rendah di Muar, Johor terlibat dalam kajian ini. Tinjauan awal telah dilaksanakan melalui temu bual dan pemerhatian ketika sesi pengajaran dan pembelajaran. Berdasarkan pemerhatian, murid-murid ini seringkali tidak menumpukan perhatian ketika fasa aplikasi idea kerana beranggapan bahawa sesi pengajaran dan pembelajaran telah tamat setelah mereka melaksanakan aktiviti dan guru memberikan penerangan. Oleh itu, saya membuat keputusan untuk menambah baik amalan pengajaran dan pembelajaran dengan melaksanakan teknik bercerita bagi mengekalkan tumpuan murid.  Intervensi teknik bercerita dijalankan selama 10 minit ketika fasa aplikasi idea bagi tajuk Habitat Haiwan dan Kegigian Haiwan. Saya memperuntukkan masa lima minit bagi menyampaikan cerita dan lima minit sesi soal jawab bersama murid bagi menguji kefahaman mereka terhadap tajuk tersebut. Melalui pelaksanaan teknik bercerita, murid-murid dapat mengekalkan tumpuan mereka terhadap apa yang ingin saya sampaikan. Hal ini disokong melalui analisis kandungan terhadap data-data pemerhatian seperti gambar dan borang senarai semak serta analisis borang soal selidik. Intervensi ini juga meningkatkan minat murid untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran. Teknik bercerita yang saya gunakan telah dapat menambah baik amalan pengajaran dan pembelajaran guru dalam mengekalkan tumpuan murid ketika fasa aplikasi idea. Kajian ini boleh dilaksanakan bagi tajuk-tajuk lain dalam Dunia Sains dan Teknologi serta melibatkan pelbagai peringkat murid.

Kata kunci: teknik bercerita, mengekalkan tumpuan, fasa aplikasi idea


Comments

Popular posts from this blog